Ahad, 22 Julai 2012

Tunggu Cinta, Aku Datang - Bab 02



BAB 02 -  AKU DAN TASIK PERDANA


Hujung minggu begini sememangnya hari yang kutunggu-tunggu. Selepas kokokan ayam jantan yang ke sekian kalinya, barulah aku bersolat Subuh. Terima kasih kepada si ayam kerana berjasa mengejutkan aku supaya tidak terlepas rukun Islam yang kedua ini. Selesai berwirid, aku menadah kedua tangan paling hampir ke dadaku – memohon begitu banyak hajat kepada Allah Yang Maha Esa. Perkenankanlah segala permintaan hambaMu yang hina ini, amin ya Rabbal alamin.

Hari mulai cerah. Aku sudah mempersiap pakaian joging sejak malam tadi lagi. Aku mula menyarung baju hijau dan seluar pendek hitam selepas selesai mandi pagi yang cukup menggigilkan. Yes! Aku sudah bersedia saat ini. Bersamaku ada satu beg kocek bertali lebih kurang sebesar penumbuk yang kugunakan untuk menyimpan kunci rumah, dompet dan handphone Nokia 3310 yang masih setia memberi khidmat kepadaku walaupun keadaannya sudah agak nazak. Ke mana arah aku melangkah pagi ini? Lalu aku memejam mata untuk membayangkan jalan-jalan kawasan yang bakal kulalui nanti. Masuk hari ini, baru empat kali aku bersenam di waktu pagi hujung minggu. Sebelum ini, Taman Tasik Titiwangsa menjadi pilihan tempatku beriadah. Kali ini, aku bercadang untuk ke Taman Tasik Perdana pula.

Selepas mengunci pintu jeriji besi rumah, aku tidak terus berjoging. Menyedari kepentingan dan kesan buruk jika tidak memanaskan badan sebelum melakukan sebarang aktiviti bersenam, menyebabkan aku selalu beringat. Dengan melakukan beberapa regangan badan yang paling asas selama lebih kurang sepuluh minit, aku mula merasakan peluh-peluh jantan sedikit membasahi sebahagian tubuh badan. Aku memulakan langkah pertama terus menghala ke arah Tasik Perdana yang letaknya lebih kurang tiga batu perjalanan dari rumah sewaku ini. Sengaja aku mencari angin tempat baru kerana tergerak hati untuk ke sana. 

Kedua kaki inipun memulakan langkah melalui beberapa deretan rumah batu setingkat dua di kiri dan kanan. Kelihatan beberapa makcik sedang menjemur pakaian, membersihkan halaman rumah dan menyiram pokok. Tak kurang juga ada sekumpulan kecil pakcik-pakcik yang sedang duduk di atas pangkin sambil rancak bersembang. Susunan rumah di sini tidaklah begitu teratur namun suasana damainya masih terpelihara sekurang-kurangnya sehinga di penghujung simpang jalan di depan sana. Bermula di persimpangan sana, sudah terlihat jalan besar – Jalan Raja Abdullah yang cukup sibuk digunakan oleh berjuta pengguna lalu lintas setiap hari. 

Aku sebetulnya belum benar-benar berjoging. Aku hanya berjalan pantas untuk beberapa minit sebelum menghayun langkah lebih panjang. Setibanya aku di jalan besar, aku melihat arus lalu lintas masih lengang, memudahkan aku untuk menyeberangi jalan. Kemudian, mataku menangkap kelibat bangunan tinggi – Menara Bank SME yang menghadap Jalan Sultan Ismail. Aku menyusuri jalan ini yang panjangnya sehingga ke stesen LRT Sultan Ismail berdekatan Sungai Gombak. Sebaik saja melewati stesen LRT ini, aku mula berjoging dan pemandangan kutinggalkan dengan lebih pantas. Memasuki Jalan Kuching, aku sempat mengalih sebentar pandangan ke arah Sungai Kelang yang terus mengalir tanpa jemu. Sedihnya, sungai ini tidak lagi berfungsi sebagaimana fitrahnya. Melihat warnanya saja sudah cukup mengecewakan aku, terutamanya tekak yang mulai haus kering. Walaupun airnya saling tak tumpah umpama air teh yang biasa dibeli di warung-warung, namun akalku harus mengalah menerima hakikat – sungai ini sudah tercemar atau tidak suci lagi. Aku dapat membayangkan kekesalan yang menerpa sambil menggelengkan kepala dalam hati. 


“Pin! Pin! Pin!,” bunyi hon motorsikal sekali sekala kedengaran. Mungkin memberi isyarat amaran atau tanda marah barangkali. Ada masanya aku terpaksa berjoging di laluan jalanraya kerana tidak disediakan laluan pejalan kaki. Cukup bahaya tetapi inilah realiti jalan ini yang tidak mesra pejalan kaki ataupun ahli sukan joging separuh masa macam aku. Terus tersenyum tiba-tiba.

Kaki semakin letih melangkah. Urat-urat dan sendi-sendi mula merasakan kepanasan di seluruh tubuh. Sesekali, aku mengelap peluh dengan tuala muka yang dibawa bersama. Sedar tak sedar, aku berada di sebuah bulatan berhampiran Bank Rakyat di sebelah kiri. Secara sekilas juga, aku teringat pada seorang teman sekampung yang bekerja di bank ini. Dia pernah memberitahuku satu berita yang sangat mengesankan. “Aku pernah dapat bonus tiga belas bulan, Sarip! “ Fuh! Tiga belas bulan? Memang betul-betul rezeki kaulah teman. Aku tersenyum lagi.


Sebentar kemudian, aku berhenti berjoging. Aku memperlahankan langkah dan berjalan santai. Udara pagi minggu dihirup sepuas-puasnya, dalam dan panjang. Aku melihat jam tangan. Baru lapan setengah. Sambil berjalan perlahan, aku dapat perhatikan suasana keliling dengan lebih lama. Aku sedang melalui Padang Merbok yang menghijau rumputnya. Selepas mendepakan kedua tangan ke atas dan ke bawah beberapa kali, aku menyambung joging hingga memasuki pintu masuk ke Jalan Cenderawasih. Sekitar sini, aku sudah dapat melihat beberapa orang ramai sedang melakukan aktiviti riadah, malah ada yang datang secara berkumpulan. Amat seronok kalau dapat berkumpul sebegitu. 


Aku meneruskan hasrat untuk tiba di Tasik Perdana yang dijangka memakan masa kira-kira 10 minit lagi. Di kiri dan kanan penuh dengan pokok-pokok yang merimbun dan lalu lintas tidak sesibuk seperti di jalan besar tadi. Aku berasa lebih selamat dan bebas melintas di sini. Hayunan langkah bergerak laju seiring dengan kelajuan degup jantung mengepam darah keluar dan masuk. Dalam fikiranku masih berasa mampu untuk menahan beban keletihan yang makin memuncak. Fokus pada matlamat untuk sampai di sekitar tasik ini menjadi penguat kemahuan. Mungkin aku perlu memberi sedikit penghargaan kepada diri sendiri bila matlamat ini dapat dipenuhi. Ya, pasti ada sesuatu yang boleh dihadiahkan. Yang penting saat ini, dari jauh aku sudah dapat melihat pemandangan Tasik Perdana yang cantik dan mendamaikan. Aku cuma perlu membuat beberapa belokan mengikut garis laluan pejalan kaki yang berbatu bata sebelum sampai pada titik matlamat.


Dan kemudian, aku tiba di suatu sudut di tepi tasik itu. Tidak terus duduk di mana-mana, aku masih berdiri menjarakkan kedua kaki untuk membuat sedikit regangan merehatkan otot-otot badan. Selepas 5 minit berlalu, aku memilih untuk duduk di sebuah bangku kayu menghadap ke arah tasik. Sambil membuang dan menarik nafas, aku bersandar pada belakang bangku. Aku berasa puas kerana dapat sampai ke sini dengan jayanya dan selamat. Peluh di serata badan aku hilangkan dengan tuala muka berwarna putih. Habis basah tuala ini dibuatnya. Hampir dapat kuperah sehingga keluar air peluh tadi. Hampir terlupa dengan kerongkongku yang mengering. Mana nak cari kedai di kawasan tasik macam ini? Aku melilau sekeliling namun tidak berjumpa subjek yang dicari. Kalau tiada kedai, dapat jumpa pakcik jual aiskrim pun jadilah. Tapi, pagi-pagi begini ada yang menjual aiskrim? Pastinya tidak kan?. Aku sedikit kecewa dengan fikiranku yang agak cepat mengalah. 



Aku membangunkan diri, berjalan ke suatu arah yang tidak pasti. Dahaga sungguh terasa pada tekak yang belum terjamah air selepas penat berjoging tadi. Seperti menyesal pulak tak bawa bekal air macam selalu. Beratpun beratlah janji boleh minum bila dahaga. “Tak mengapa Sarip, cuba sabar banyak-banyak,” aku bagai memujuk hati yang terdengar gelisah. Pasti ada di hujung sebelah sana sebab di hujung sebelah sini tidak berjumpa apa-apa.

Sekali-sekala, pemandangan sekeliling bertukar-tukar warna dan ragam manusia yang banyak boleh dilihat. Aku kemudian tertarik dengan satu pasangan yang sedang berjalan perlahan di hadapan. Mereka mengenakan pakaian sopan dan longgar untuk beriadah sambil tangan mereka tergenggam erat. Menariknya, mereka bukanlah pasangan muda-mudi yang kadang-kadang tidak segan silu menunjukkan kemesraan yang tidak perlu ditayang di sekitar khalayak. Aku meneka umur pasangan romantik ini dalam lingkungan tujuh puluhan bila melihat pada garis kasar pada wajah namun pergerakannya masih bertenaga.

Selepas melewati pasangan emas tadi, aku kembali fokus meluaskan pandangan mencari kedai serbaneka atau setidak-tidaknya gerai yang menjual air. Tak sampai sepuluh minit mencari, sebuah gerai tolak di bawah sebuah pohon besar menangkap penglihatanku. Siap dengan sebuah meja dan kerusi lagi. Pasti boleh berlama-lama sikit. Senyumku mendahului sebarang kata-kata sebaik tiba di depan gerai tolak Pak Akob Cendol, begitulah nama yang tertera pada gerainya. Belum apa-apa lagi, baunya saja cukup memecah liur. 


“Mahu cendol biasa atau special ?” soal Pak Akob sambil bersedia dengan jawapanku.
“Apa beza cendol biasa dengan special ? “ sengaja aku bertanya.
“Cendol special ada jagung, boleh letak pulut dan aiskrim vanilla!” jawab Pak Akob yakin.
“Aiskrim vanilla? Betul ni?” aku bertanya mendapatkan kepastian.
“Pakcik bergurau saja,” katanya sambil tersengih. Akupun ikut tersengih dengan relanya.
“Memang lawaklah pakcik ni. Terkena saya,” balasku lalu memesan cendol special bubuh jagung. Aku masih berdiri.

“Kamu orang baru di sini?” soalnya sambil menyiapkan cendol yang dipesan.
“Betul. Baru pertama kali sampai sini.”
“Kamu duduklah dulu. Nanti kalau datang lagi tiga, empat orang, merasa la kamu cendol special  berdiri lenguh kaki,” kata Pak Akob bergurau. Aku setuju dengan Pak Akob. Tanpa berfikir panjang, aku terus merebahkan punggung ke kerusi plastik. 

“Pakcik dah lama meniaga di sini?”
“Lama juga. Adalah dalam empat belas tahun,” jelasnya, kemudian menghulur semangkuk kecil cendol yang ada jagung. Aku melihat ke dalam mangkuk dengan rasa teruja sekali.

“Lama tu pakcik. Mesti pakcik dapat lihat perubahan besar kawasan sini,” aku membuat andaian.

“Memang sungguh. Banyak yang sudah berubah. Dulu taman tasik ni tak secantik sekarang.” Pak Akob mengambil 2 mangkuk kosong di atas meja yang ditinggalkan pelanggan. Lalu dia membersihkannya sebelum meletakkan semula di tempatnya.

Satu sudu, dua sudu dan tiga sudu cendol kusuakan ke mulut. Cukup enak bila melalui kerongkong yang sedang haus. 

“Sedap cendol ni pakcik,” pujian ikhlas untuk Pak Akob.
“Kalau sedap bolehlah order lagi,” usiknya lagi.

Aku tersenyum dan hampir tersedak mendengar jawapannya. Hanya gelengan kepala yang dapat kutunjukkan ketika mulut masih penuh dengan cendol yang dikunyah sedikit sebelum ditelan. 

“Cukup satu pakcik. Nanti kalau banyak air dalam perut saya ni, alamat lambatlah saya sampai rumah,” balasku.

“Jauh rumah kamu dari sini?”
“Rumah saya dekat Kampung Baru. Kalau naik motor dari sini, lima minit dah sampai.”
“Dekat jugak. Kalau jalan kaki, memanglah jauh kan?” soalnya yang sudah tahu jawapannya.

Tidak berapa lama kemudian, tiga orang pelanggan singgah di gerai tolak Pak Akob. Mereka masing-masing memesan semangkuk cendol, juga yang special. Aku bingkas bangun dan meletakkan mangkuk cendol ke dalam baldi yang tersedia. Giliran mereka mengambil tempat di meja. Kami berbalas pandangan. Selesai Pak Akob menghantar 3 mangkuk cendol kepada pelanggan tadi, aku terus membayar dengan amaun tepat – seringgit lima puluh sen. 

“Terima kasih,” Pak Akob menundukkan sedikit kepalanya.
“Sama-sama.”
“Nama pakcik – Akob,” beritahunya sambil menghulurkan tangan kanannya. “Panggil saja Pak Akob,” sambungnya lagi.
“Saya Sarip,” tangan Pak Akob kusambut dengan kedua tangan.
“Datang lagi ya?” ajak Pak Akob sambil keningnya terangkat.
“Insya-Allah Pak Akob, ada rezeki kita jumpa lagi nanti.”

Pertemuan dengan Pak Akob pagi itu bukanlah pertemuan biasa mengikut firasatku. Aku sudah berjumpa dengan bermacam-macam jenis penjual, namun yang ini cukup berbeza. Sangat mesra layanannya dan amat menghormati pelanggan walaupun aku jauh berpuluh tahun lebih muda dari usianya. Tidak seperti apa yang aku fikirkan ketika mula-mula sampai di gerainya. Aku berkira-kira untuk datang lagi ke Tasik Perdana bila ada peluang. Pasti kita akan bertemu lagi, Pak Akob.

BERSAMBUNG...