Ahad, 22 Julai 2012

Tunggu Cinta, Aku Datang - Bab 02



BAB 02 -  AKU DAN TASIK PERDANA


Hujung minggu begini sememangnya hari yang kutunggu-tunggu. Selepas kokokan ayam jantan yang ke sekian kalinya, barulah aku bersolat Subuh. Terima kasih kepada si ayam kerana berjasa mengejutkan aku supaya tidak terlepas rukun Islam yang kedua ini. Selesai berwirid, aku menadah kedua tangan paling hampir ke dadaku – memohon begitu banyak hajat kepada Allah Yang Maha Esa. Perkenankanlah segala permintaan hambaMu yang hina ini, amin ya Rabbal alamin.

Hari mulai cerah. Aku sudah mempersiap pakaian joging sejak malam tadi lagi. Aku mula menyarung baju hijau dan seluar pendek hitam selepas selesai mandi pagi yang cukup menggigilkan. Yes! Aku sudah bersedia saat ini. Bersamaku ada satu beg kocek bertali lebih kurang sebesar penumbuk yang kugunakan untuk menyimpan kunci rumah, dompet dan handphone Nokia 3310 yang masih setia memberi khidmat kepadaku walaupun keadaannya sudah agak nazak. Ke mana arah aku melangkah pagi ini? Lalu aku memejam mata untuk membayangkan jalan-jalan kawasan yang bakal kulalui nanti. Masuk hari ini, baru empat kali aku bersenam di waktu pagi hujung minggu. Sebelum ini, Taman Tasik Titiwangsa menjadi pilihan tempatku beriadah. Kali ini, aku bercadang untuk ke Taman Tasik Perdana pula.

Selepas mengunci pintu jeriji besi rumah, aku tidak terus berjoging. Menyedari kepentingan dan kesan buruk jika tidak memanaskan badan sebelum melakukan sebarang aktiviti bersenam, menyebabkan aku selalu beringat. Dengan melakukan beberapa regangan badan yang paling asas selama lebih kurang sepuluh minit, aku mula merasakan peluh-peluh jantan sedikit membasahi sebahagian tubuh badan. Aku memulakan langkah pertama terus menghala ke arah Tasik Perdana yang letaknya lebih kurang tiga batu perjalanan dari rumah sewaku ini. Sengaja aku mencari angin tempat baru kerana tergerak hati untuk ke sana. 

Kedua kaki inipun memulakan langkah melalui beberapa deretan rumah batu setingkat dua di kiri dan kanan. Kelihatan beberapa makcik sedang menjemur pakaian, membersihkan halaman rumah dan menyiram pokok. Tak kurang juga ada sekumpulan kecil pakcik-pakcik yang sedang duduk di atas pangkin sambil rancak bersembang. Susunan rumah di sini tidaklah begitu teratur namun suasana damainya masih terpelihara sekurang-kurangnya sehinga di penghujung simpang jalan di depan sana. Bermula di persimpangan sana, sudah terlihat jalan besar – Jalan Raja Abdullah yang cukup sibuk digunakan oleh berjuta pengguna lalu lintas setiap hari. 

Aku sebetulnya belum benar-benar berjoging. Aku hanya berjalan pantas untuk beberapa minit sebelum menghayun langkah lebih panjang. Setibanya aku di jalan besar, aku melihat arus lalu lintas masih lengang, memudahkan aku untuk menyeberangi jalan. Kemudian, mataku menangkap kelibat bangunan tinggi – Menara Bank SME yang menghadap Jalan Sultan Ismail. Aku menyusuri jalan ini yang panjangnya sehingga ke stesen LRT Sultan Ismail berdekatan Sungai Gombak. Sebaik saja melewati stesen LRT ini, aku mula berjoging dan pemandangan kutinggalkan dengan lebih pantas. Memasuki Jalan Kuching, aku sempat mengalih sebentar pandangan ke arah Sungai Kelang yang terus mengalir tanpa jemu. Sedihnya, sungai ini tidak lagi berfungsi sebagaimana fitrahnya. Melihat warnanya saja sudah cukup mengecewakan aku, terutamanya tekak yang mulai haus kering. Walaupun airnya saling tak tumpah umpama air teh yang biasa dibeli di warung-warung, namun akalku harus mengalah menerima hakikat – sungai ini sudah tercemar atau tidak suci lagi. Aku dapat membayangkan kekesalan yang menerpa sambil menggelengkan kepala dalam hati. 


“Pin! Pin! Pin!,” bunyi hon motorsikal sekali sekala kedengaran. Mungkin memberi isyarat amaran atau tanda marah barangkali. Ada masanya aku terpaksa berjoging di laluan jalanraya kerana tidak disediakan laluan pejalan kaki. Cukup bahaya tetapi inilah realiti jalan ini yang tidak mesra pejalan kaki ataupun ahli sukan joging separuh masa macam aku. Terus tersenyum tiba-tiba.

Kaki semakin letih melangkah. Urat-urat dan sendi-sendi mula merasakan kepanasan di seluruh tubuh. Sesekali, aku mengelap peluh dengan tuala muka yang dibawa bersama. Sedar tak sedar, aku berada di sebuah bulatan berhampiran Bank Rakyat di sebelah kiri. Secara sekilas juga, aku teringat pada seorang teman sekampung yang bekerja di bank ini. Dia pernah memberitahuku satu berita yang sangat mengesankan. “Aku pernah dapat bonus tiga belas bulan, Sarip! “ Fuh! Tiga belas bulan? Memang betul-betul rezeki kaulah teman. Aku tersenyum lagi.


Sebentar kemudian, aku berhenti berjoging. Aku memperlahankan langkah dan berjalan santai. Udara pagi minggu dihirup sepuas-puasnya, dalam dan panjang. Aku melihat jam tangan. Baru lapan setengah. Sambil berjalan perlahan, aku dapat perhatikan suasana keliling dengan lebih lama. Aku sedang melalui Padang Merbok yang menghijau rumputnya. Selepas mendepakan kedua tangan ke atas dan ke bawah beberapa kali, aku menyambung joging hingga memasuki pintu masuk ke Jalan Cenderawasih. Sekitar sini, aku sudah dapat melihat beberapa orang ramai sedang melakukan aktiviti riadah, malah ada yang datang secara berkumpulan. Amat seronok kalau dapat berkumpul sebegitu. 


Aku meneruskan hasrat untuk tiba di Tasik Perdana yang dijangka memakan masa kira-kira 10 minit lagi. Di kiri dan kanan penuh dengan pokok-pokok yang merimbun dan lalu lintas tidak sesibuk seperti di jalan besar tadi. Aku berasa lebih selamat dan bebas melintas di sini. Hayunan langkah bergerak laju seiring dengan kelajuan degup jantung mengepam darah keluar dan masuk. Dalam fikiranku masih berasa mampu untuk menahan beban keletihan yang makin memuncak. Fokus pada matlamat untuk sampai di sekitar tasik ini menjadi penguat kemahuan. Mungkin aku perlu memberi sedikit penghargaan kepada diri sendiri bila matlamat ini dapat dipenuhi. Ya, pasti ada sesuatu yang boleh dihadiahkan. Yang penting saat ini, dari jauh aku sudah dapat melihat pemandangan Tasik Perdana yang cantik dan mendamaikan. Aku cuma perlu membuat beberapa belokan mengikut garis laluan pejalan kaki yang berbatu bata sebelum sampai pada titik matlamat.


Dan kemudian, aku tiba di suatu sudut di tepi tasik itu. Tidak terus duduk di mana-mana, aku masih berdiri menjarakkan kedua kaki untuk membuat sedikit regangan merehatkan otot-otot badan. Selepas 5 minit berlalu, aku memilih untuk duduk di sebuah bangku kayu menghadap ke arah tasik. Sambil membuang dan menarik nafas, aku bersandar pada belakang bangku. Aku berasa puas kerana dapat sampai ke sini dengan jayanya dan selamat. Peluh di serata badan aku hilangkan dengan tuala muka berwarna putih. Habis basah tuala ini dibuatnya. Hampir dapat kuperah sehingga keluar air peluh tadi. Hampir terlupa dengan kerongkongku yang mengering. Mana nak cari kedai di kawasan tasik macam ini? Aku melilau sekeliling namun tidak berjumpa subjek yang dicari. Kalau tiada kedai, dapat jumpa pakcik jual aiskrim pun jadilah. Tapi, pagi-pagi begini ada yang menjual aiskrim? Pastinya tidak kan?. Aku sedikit kecewa dengan fikiranku yang agak cepat mengalah. 



Aku membangunkan diri, berjalan ke suatu arah yang tidak pasti. Dahaga sungguh terasa pada tekak yang belum terjamah air selepas penat berjoging tadi. Seperti menyesal pulak tak bawa bekal air macam selalu. Beratpun beratlah janji boleh minum bila dahaga. “Tak mengapa Sarip, cuba sabar banyak-banyak,” aku bagai memujuk hati yang terdengar gelisah. Pasti ada di hujung sebelah sana sebab di hujung sebelah sini tidak berjumpa apa-apa.

Sekali-sekala, pemandangan sekeliling bertukar-tukar warna dan ragam manusia yang banyak boleh dilihat. Aku kemudian tertarik dengan satu pasangan yang sedang berjalan perlahan di hadapan. Mereka mengenakan pakaian sopan dan longgar untuk beriadah sambil tangan mereka tergenggam erat. Menariknya, mereka bukanlah pasangan muda-mudi yang kadang-kadang tidak segan silu menunjukkan kemesraan yang tidak perlu ditayang di sekitar khalayak. Aku meneka umur pasangan romantik ini dalam lingkungan tujuh puluhan bila melihat pada garis kasar pada wajah namun pergerakannya masih bertenaga.

Selepas melewati pasangan emas tadi, aku kembali fokus meluaskan pandangan mencari kedai serbaneka atau setidak-tidaknya gerai yang menjual air. Tak sampai sepuluh minit mencari, sebuah gerai tolak di bawah sebuah pohon besar menangkap penglihatanku. Siap dengan sebuah meja dan kerusi lagi. Pasti boleh berlama-lama sikit. Senyumku mendahului sebarang kata-kata sebaik tiba di depan gerai tolak Pak Akob Cendol, begitulah nama yang tertera pada gerainya. Belum apa-apa lagi, baunya saja cukup memecah liur. 


“Mahu cendol biasa atau special ?” soal Pak Akob sambil bersedia dengan jawapanku.
“Apa beza cendol biasa dengan special ? “ sengaja aku bertanya.
“Cendol special ada jagung, boleh letak pulut dan aiskrim vanilla!” jawab Pak Akob yakin.
“Aiskrim vanilla? Betul ni?” aku bertanya mendapatkan kepastian.
“Pakcik bergurau saja,” katanya sambil tersengih. Akupun ikut tersengih dengan relanya.
“Memang lawaklah pakcik ni. Terkena saya,” balasku lalu memesan cendol special bubuh jagung. Aku masih berdiri.

“Kamu orang baru di sini?” soalnya sambil menyiapkan cendol yang dipesan.
“Betul. Baru pertama kali sampai sini.”
“Kamu duduklah dulu. Nanti kalau datang lagi tiga, empat orang, merasa la kamu cendol special  berdiri lenguh kaki,” kata Pak Akob bergurau. Aku setuju dengan Pak Akob. Tanpa berfikir panjang, aku terus merebahkan punggung ke kerusi plastik. 

“Pakcik dah lama meniaga di sini?”
“Lama juga. Adalah dalam empat belas tahun,” jelasnya, kemudian menghulur semangkuk kecil cendol yang ada jagung. Aku melihat ke dalam mangkuk dengan rasa teruja sekali.

“Lama tu pakcik. Mesti pakcik dapat lihat perubahan besar kawasan sini,” aku membuat andaian.

“Memang sungguh. Banyak yang sudah berubah. Dulu taman tasik ni tak secantik sekarang.” Pak Akob mengambil 2 mangkuk kosong di atas meja yang ditinggalkan pelanggan. Lalu dia membersihkannya sebelum meletakkan semula di tempatnya.

Satu sudu, dua sudu dan tiga sudu cendol kusuakan ke mulut. Cukup enak bila melalui kerongkong yang sedang haus. 

“Sedap cendol ni pakcik,” pujian ikhlas untuk Pak Akob.
“Kalau sedap bolehlah order lagi,” usiknya lagi.

Aku tersenyum dan hampir tersedak mendengar jawapannya. Hanya gelengan kepala yang dapat kutunjukkan ketika mulut masih penuh dengan cendol yang dikunyah sedikit sebelum ditelan. 

“Cukup satu pakcik. Nanti kalau banyak air dalam perut saya ni, alamat lambatlah saya sampai rumah,” balasku.

“Jauh rumah kamu dari sini?”
“Rumah saya dekat Kampung Baru. Kalau naik motor dari sini, lima minit dah sampai.”
“Dekat jugak. Kalau jalan kaki, memanglah jauh kan?” soalnya yang sudah tahu jawapannya.

Tidak berapa lama kemudian, tiga orang pelanggan singgah di gerai tolak Pak Akob. Mereka masing-masing memesan semangkuk cendol, juga yang special. Aku bingkas bangun dan meletakkan mangkuk cendol ke dalam baldi yang tersedia. Giliran mereka mengambil tempat di meja. Kami berbalas pandangan. Selesai Pak Akob menghantar 3 mangkuk cendol kepada pelanggan tadi, aku terus membayar dengan amaun tepat – seringgit lima puluh sen. 

“Terima kasih,” Pak Akob menundukkan sedikit kepalanya.
“Sama-sama.”
“Nama pakcik – Akob,” beritahunya sambil menghulurkan tangan kanannya. “Panggil saja Pak Akob,” sambungnya lagi.
“Saya Sarip,” tangan Pak Akob kusambut dengan kedua tangan.
“Datang lagi ya?” ajak Pak Akob sambil keningnya terangkat.
“Insya-Allah Pak Akob, ada rezeki kita jumpa lagi nanti.”

Pertemuan dengan Pak Akob pagi itu bukanlah pertemuan biasa mengikut firasatku. Aku sudah berjumpa dengan bermacam-macam jenis penjual, namun yang ini cukup berbeza. Sangat mesra layanannya dan amat menghormati pelanggan walaupun aku jauh berpuluh tahun lebih muda dari usianya. Tidak seperti apa yang aku fikirkan ketika mula-mula sampai di gerainya. Aku berkira-kira untuk datang lagi ke Tasik Perdana bila ada peluang. Pasti kita akan bertemu lagi, Pak Akob.

BERSAMBUNG...

Rabu, 4 Januari 2012

Tunggu Cinta, Aku Datang - Bab 01

Percubaan Sulung Menulis Novel.


BAB 01 - DI TENGAH KOTA





Di sebuah rumah sewa, sekitar Kampung Baru,
0715

SARIPUDIN bin Jamaludin. Sebuah nama yang difikirkan sesuai lalu dipadankan denganku oleh mak dan abah. Nama panggilan manja Sarip. Bunyi macam nama orang lama zaman lima puluhan tapi realitinya, aku hidup dalam zaman sofistikated iPhone four dan Bugatti Veyron.

Satu hal yang pasti, aku tidak ada kena mengena langsung dengan Sarip Dol; samseng Kampung Dusun yang cukup menjengkelkan dalam filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Namaku berbunyi klasik bukan? Memanglah. Kalau bukan kerana taksubnya abah aku pada kehebatan Tok Guru Saripudin, sudah tentu nama aku jauhnya bertiang-tiang lebih kacak daripada nama ini. Mungkin abah mengharapkan aku juga akan menjadi manusia sehebat Tok Guru Saripudin walaupun bukan di gelanggang silat.

Tok Guru Saripudin, juga biasa dibahasakan orang kampung sebagai Tok Guru Sarip memang sangat terkenal di seluruh ceruk Kampung Sungai Besar dengan ketinggian ilmu silat gayung. Dengar cerita orang kampung, badannya kebal macam kereta kebal. Kesaktian keris Tok Guru Sarip, khabarnya, boleh terbang jauh mengikut telunjuknya saja. Anak muridnya sampai beratus-ratus orang. Kebanyakannya datang dari serata negeri di Semenanjung Malaysia dan sekumpulan kecil yang datang berguru dari Sumatera Barat. Begitu hebat dan masyhur sekali, ilmu persilatan Tok Guru Sarip.

Siapa-siapa yang berasa sudah cukup handal berlawan dan mahu menguji kekuatan, boleh beradu tenaga dengannya. Jika seterunya tidak pulang dengan tangan patah, biasanya akan mengalami kelumpuhan anggota badan akibat bisa tendangan batin jurus ke-enam yang diketahui ramai orang; gerakan penyudah paling berbahaya. Pernah ada lawan yang mati di tangan Tok Guru Sarip tapi bilangannya tidak banyak. Tok Guru Sarip tidak akan secara sengaja membunuh lawannya kecuali jika nyawanya sendiri terancam, demikian cerita abah yang masih kuingat.

Tapi itu semua cerita lama. Sebahagian daripada cerita abah tentang rasa kagum dan logiknya dia memberi namaku bersempena dengan legenda seorang pejuang Melayu di Tanah Melayu. Tentu sekali mak dan abah mahu melihat aku mempunyai semangat perjuangan hidup yang kental persis semangat perjuangan pendekar Tok Guru Sarip. Demikian aku merumuskan. Jauh ke dasar hati yang paling dalam, aku sebenarnya sangat sayang dan rasa bertuah dengan nama pemberian orang tuaku ini yang aku anggap sebagai hadiah tidak ternilai.

Aku hanya tersenyum lebar sambil memandang ke arah sinaran cahaya pagi yang datang dari satu lubang atap zink rumah. Aku terus menyambung senyum. Lagi dan lama.

“Dang! Dang! Dang!” aku kepalang terkejut mendengar bunyi pintu diketuk kuat dari luar.
“Hoi, Sarip! Awat hang lama sangat kat dalam tu?” laung Abang Salleh yang hanya bertuala mandi, menutup auratnya.
“Ada. Ada ni,” jawabku, baru tersedar dari lamunan panjang yang mengkhayalkan. “Sekejap, bang. Dah nak siap ni!” aku pantas meletakkan gayung di atas tebing simen kolah mandi. Tuala mandi berwarna kelabu lusuh cepat-cepat kucapai dan aku mengelap seluruh badanku tergesa-gesa.
Sorry, bang. Sakit perut tadi. Tu yang lama,” aku memberi alasan sebaik keluar dari bilik air.
“Banyak lah hang punya auta. Entah apa yang hang berleteq sorang-sorang dari tadi. Hang ingat aku tak dengaq ka?” marah Abang Salleh sambil bercekak pinggang.
Tak sengaja, bang. Lain kali saya tak buat dah,” aku menyatakan kekesalan yang tidak seberapa.
“Masalahnya, dah banyak kali hang buat ‘lagu’ ni. Bukan hang sorang ja yang nak pi kerja,” sambung Abang Salleh sehingga kelibatnya masuk ke dalam bilik air.
“Ala, lama sikit pun nak marah. Macam lah dia sorang saja yang bayar sewa,” aku berbisik dalam hati.

Di sepanjang perjalanan menaiki LRT ke pejabat, geramku masih berbekas dengan insiden tadi yang sudah membunuh seluruh semangat kerjaku di awal minggu. Sudahlah hari ini Isnin, mood bercuti masih terasa, pagi-pagi buta dah kena pekik. Siapa yang tak panas hati?

Abang Salleh yang tiba-tiba naik angin dengan aku tadi bukannya ada hubungan sedarah dengan akupun, jauh sekali abang angkat ataupun ‘abang besar’. Dia sebenarnya sama seperti aku, duduk menyewa di rumah itu juga. Aku memanggilnya ‘abang’ kerana dia yang menetapkan panggilan sebegitu. Secara jujurnya, akupun tidaklah berasa ralat dengan panggilan ‘abang’ kerana mengenangkan budinya membenarkan aku tinggal menyewa di situ. Sepatutnya, aku berasa lebih bersyukur. Tambahan pula, aku berasa yakin bahawa umurnya jauh lebih senior daripadaku jika dilihat pada garis wajahnya.

Sebagai penyewa lama di rumah yang sama, dia diberi kuasa oleh tuan punya rumah untuk memilih seorang dua penyewa lain yang dirasakannya sesuai. Aku mengenali Abang Salleh sewaktu masih terkial-kial mencari rumah sewa dengan harga yang aku mampu bayar. Dua malam aku menumpang tidur di sebuah masjid sekitar Kampung Baru ini dan aku hampir-hampir dihalau keluar oleh seorang AJK masjid yang kemudiannya faham dengan situasi aku. Alhamdulillah, aku bersyukur sangat-sangat.

Dengan pertolongan Tok Bilal Tapa, aku berjumpa sehingga empat, lima pemilik rumah sewa sekitar sini yang sedang mencari penyewa baru. Sehingga akhirnya, aku sampai di rumah Abang Salleh yang aku sewa sekarang. Pada mulanya, dia meletakkan harga sewa yang agak tinggi. Aku tidak bersetuju dan cuba menawar harga. Begitu juga halnya dengan Abang Salleh yang tidak mahu menerima tawaran harga tersebut, langsung dia menyuruh aku mencari rumah sewa lain. Aku tahu, bukan mudah mencari rumah sewa murah di tengah kota besar seperti ini. Tidak mahu berfikir lama, aku terpaksa bersetuju dengan tawarannya. Maka, sebuah bilik kecil dan kosong berkeluasan kira-kira 4 meter persegi menjadi kediaman baruku.



-->
Bro, jom minum?” sapa Hazim di sebalik partition biru. Aku menoleh ke arahnya.
“Aku tak ada mood la,” ucapku dengan pandangan tawar.
“Jomlah. Aku belanja kau minum.”
“Kau je lah yang pergi,” balasku sambil mengharapkan Hazim berputus asa memujukku.
“Aku up lagi. Teh ‘O’ ais limau dengan nasi lemak ayam goreng. Cantik?” pancing Hazim sambil menunjuk tanda bagus dengan ibu jarinya. Tawarannya itu sudah cukup menjentik seleraku. Aku berasa kalah.
“Wah...kaya kau hari ni? Siap nak belanja aku ayam goreng. Kau dapat ‘duit kutu’ ke?” spontan aku berseloroh.
“Kutu-kutu ni, aku tak mainlah. Kau nak ke tak?
“Okaylah. Ayam gorengpun ayam gorenglah. Janji kau belanja.”
“Mak aku selalu cakap, jangan tolak rezeki. Tak baik,” hujah Hazim. Terlihat riak kemenangan pada wajahnya.

Aku hanya mampu tergelak. Mengiringi langkah Hazim, kami sama-sama menaiki lif ke sebuah kafeteria awam di aras dua yang boleh memuatkan kira-kira seratus orang pada satu-satu masa. Masih ramai yang sedang bersarapan. Pelbagai bunyi percakapan bertindih-tindih di sana sini.
“Kau ada buat kerja part time ke?” soalku selepas kami selesai membuat pesanan.
“Hmm..ada lah sikit-sikit.”
“Pertengahan bulan macam ni, orang selalunya tengah sesak duit. Kalau akulah, tak breakfast, lunch terus,” terang aku kepada Hazim.

Hazim mengangguk tanda bersetuju dengan pernyataan aku. Beberapa detik kemudian, dia menyambung bicara,“Aku faham dengan senario hidup di bandar ni. Duit paling utama. Kerja macam kita ni mana boleh nak tampung semua perbelanjaan. Mesti buat kerja lain sama. Baru boleh bersenang sikit,” tambah Hazim lagi.
“Maksud kau, kerja part time?” tanyaku.
“Ya. Salah satu daripadanya!
“Kerja part time apa lah yang aku boleh buat?” soalku pada Hazim dan diriku sendiri.
“Jangan bersikap macam tu, Sarip. Paling kurang, mesti ada satu kerja sampingan yang kau boleh usahakan. Cuba fikirkan,” tegas Hazim sambil menghabiskan air teh tariknya.
“Insya Allah.”
Hazim melihat waktu pada jam tangannya. Cuma kurang tujuh minit sebelum waktu masuk pejabat. Kami terus bangun meninggalkan kafeteria dan menghala ke lif berhampiran.
            “Thanks, Hazim. Belanja makan.”
            “No problem, bro. Lain hari kau pulak belanja, okay?”
            “Boleh. Tak ada hal,” balasku, membuat janji pada Hazim.

Jam 1530, hari yang sama.

            “Sarip. Awak dah update fail yang saya minta last week?” kedengaran satu suara wanita dari corong suara telefon secara interkom.
            “Dah, Cik Julia. Nak saya hantar sekarang?” tanyaku sambil mataku mula mencari-cari ke arah rak kabinet fail di satu sudut.
            “Habis tu? Buat apa I tanya tadi? Tahun depan ke baru nak hantar?” balas Cik Julia dengan suara meninggi.
            “Baik, Cik Julia. Saya hantar sekarang,” kataku perlahan, menahan sabar yang semakin menipis.
Aku terus berdiri dan menuju ke arah rak kabinet fail setinggi empat tingkat yang terletak berdekatan. Mataku liar meraba deretan fail pelbagai label dan warna dari kanan ke kiri, atas bawah.
            “Mana pulak aku letak fail ni?” soalku sendiri. Sudah lima minit aku mencari fail tersebut tetapi tidak berjumpa. Aku mulai resah.
“Masak aku kalau macam ni! Teruk aku kena maki dengan Cik Julia nanti.” Kegusaran hatiku seperti tidak dapat ditahan lagi. Buntu fikiranku bila cuba mengingati kembali kali terakhir aku menyimpan fail senarai pembekal tempoh hari.
“Sarip.”
Aku memandang ke arah suara yang datang. Senyum kulakar lebar.
            “Tengah cari fail ini ke?” tanya Ros sambil menunjukkan fail yang dimaksudkannya.
“Ha...Sarip cari fail ni la,” ucapku dengan perasaan lega.
“Maaflah, Sarip. Jumaat lepas Ros ambil fail ni sebab Encik Fendi nak guna sekejap tapi Ros yang terlupa nak letak balik hari tu,” lembut saja tutur gadis genit yang mengenakan sepasang kurung jambu muda ini. Rambutnya panjang melepasi bahu menyerlahkan lagi keanggunan wajahnya yang tersedia comel. Kombinasi yang mendamaikan dan menyenangkan mata yang melihat. Apa yang pasti, aku masih memandangnya.
            “Eh, tak apa. Jangan risaulah. Masalah kecil je tu,” kataku pada Rosnita yang kelihatan sedikit serba salah. Fail yang dicari-cari kini berada di tanganku. Aku mesti bersegera ke bilik Cik Julia sebelum aku kena maki hamun.
            “Terima kasih, Ros,” ucapku sambil berlalu meninggalkannya.
            “Sama-sama,” balas Rosnita yang kemudiannya kembali ke tempatnya.  

Lewat petang hari itu, seperti selalu, aku menaiki LRT dari stesen Bangsar ke Kampung Baru. Perjalanan yang penuh sesak dengan beratus-ratus manusia itu mengambil masa kira-kira 15 minit termasuk masa menunggu yang menjemukan. Walaupun keadaannya sama saja setiap hari, namun ada hari-harinya aku berasa seronok berjemaah bersama ratusan penumpang LRT yang mahu sampai cepat ke destinasi masing-masing. Dan ada juga hari-harinya, aku seakan lemas dengan ruang sekeliling. Ah, pelik rasanya.

-->
Bermacam-macam jenis ragam manusia sempat kuperhatikan. Yang segak bergaya. Yang selekeh selamba. Anak muda. Orang tua. Yang datang berdua, yang bersama dalam sekumpulan kecil. Ada juga yang tertidur tapi ramai yang berjaga. Aku duduk bila ada peluang. Paling ramai yang berdiri sambil memegang tiang atau pemegang bergetah pada palang besi sebagai penstabil. Yang naik berseorangan mendominasi semua ruang tren LRT. Masing-masing dengan hal sendiri.

Aku juga semakin biasa dengan rutin ini walaupun harus diakui, kemudahan awam jenis LRT ini walaupun sudah berevolusi namun tidak pernah menselesakan pada waktu puncak. Aku dan mereka sama-sama berkongsi rasa tidak selesa yang mengajar erti kesabaran dalam keterpaksaan.

Cukup jauh berbanding suasana menaiki bas atau keretapi di kampungku. Walaupun serba kekurangan tetapi tidaklah terlampau sesak seperti di tengah kota ini. Aku sendiri ketawa dengan buah fikiranku sendiri. Mana mungkin kesesakan itu datang sendiri kalau bukan kita juga yang datang berbondong-bondong memenuhi setiap inci tanah di kota megah seperti Kuala Lumpur ini?

bersambung....



Glosari
sofistikated – canggih
bugatti veyron – model kereta terlaju di dunia dengan kelajuan maksimum 431 km/j (semasa novel ini ditulis pada tahun 2011)
awat – kenapa (dialek orang Utara)
leteq – leter
hang – kamu/awak (dialek orang Utara)
auta – tipu (dialek orang Utara)
dengaq – dengar (dialek orang Utara)
pi – pergi (dialek orang Utara)
‘lagu’ – macam/seperti (dialek orang Utara)
‘abang besar’ – nama panggilan bagi samseng yang menjaga satu-satu kawasan perlindungan.
AJK – ahli jawatankuasa
berbondong-bondong - beramai –ramai
interkom - merupakan sebuah sistem komunikasi elektronik yang ditujukan untuk pembicaraan, pengumuman, atau proses komunikasi yang terbatas. Contoh interkom : telefon dan mesin tiket automatik parkir kereta.
bro – kata panggilan singkatan untuk brother