Selasa, 6 Disember 2011

Peraduan Menulis Cerpen Paranormal : Misteri Duit Lama


















MISTERI DUIT LAMA


Kuala Lumpur, Universiti Malaya
14 Disember 1968.


Buku biru ini pernah bertuan hampir dua puluh lima tahun dulu. Dan selama tempoh itu, ia menjadi barang simpanan ayah. Hal itu terjadi kerana ayah memegang janjinya dengan arwah ibuku, Kismah. Ayah pernah memberitahuku beberapa kali, ibu sangat gemar menulis catatan. Ibu seorang yang bijak, aku dikatakan ayah mewarisi keunggulan itu. Dalam buku itulah dia mencurahkan segalanya. Tentang perasaannya dan segala apa yang dilaluinya.
        “Ini adalah pemberian arwah ibu,” ayah menerangkan sambil meletakkan buku biru itu di hadapanku. “Kamu boleh membacanya dan mesti menyimpannya dengan baik,” pesan ayah dalam nada penuh harapan. Aku mengiyakan sambil terbayangkan wajah ibu tersenyum. Dalam sedarku, rasa sebak mula mendatang. Aku menahannya, sekuatku.
        “Karmila,” seorang gadis menyapaku lembut. Aku sedikit terkejut sekaligus lamunanku sejak tadi melayang jauh entah ke mana. Pandangan kulempar tepat ke wajah teman sebilikku yang tercegat di muka pintu. Terlukis garis kelesuan pada wajahnya. Perlahan dia merapatkan pintu bilik.
        “Tengah buat apa tadi?” tanya Salwa sambil meletakkan beg sandang di penjuru katil. Tanpa menunggu jawapanku dia membuka almari dan menyimpan sesuatu, kemudian menutupnya kembali.
        “Berangan,” jawabku cuba berselindung dan berlucu.
        “Tentang apa?” soal Salwa menunjukkan minat.
        “Tak sempatpun. Habis semua menghilang masa kau masuk tadi,” aku cuba mengusiknya.
        “Ya lah sangat,” jawab Salwa tersenyum.  
        “Ke mana tadi?” aku mengalih tajuk perbualan.
“Library. Aku dengan Izah siapkan tugasan mingguan,” ujar Salwa.
        “Buat tugasan ke jumpa buah hati?” dugaku cuba menjerat Salwa. Aku menahan gelak.
“Tak ada maknanya. Rudi main badminton malam ni,” Salwa menjelaskan.
“Selalunya kau pergi kan? Tak rindu dia ke nanti?” aku mengusik lagi.
“Aku dah janji dengan Izah dari last week lagi. Nanti merajuk pula orang tua tu.”
Salwa kemudiannya bertukar pakaian yang lebih ringkas dan kemudian merebahkan dirinya ke katil bujang. Rambutnya yang panjang dilepas bebas. Dia mengiringkan tubuhnya ke arahku sambil menutup mulutnya dengan belakang tapak tangan, menahan nguap yang tidak mampu disorok lagi.
        “Mila, aku tidur dulu. Mengantuk sangat dah ni,” kata Salwa sambil mematikan lampu kecil di sebelah katilnya. Dia membalikkan tubuhnya membelakangi aku.

Aku tidak membalas cakapnya. Fikirku, Salwa mungkin tersinggung denganku atau mungkin dia terlalu penat dengan aktiviti luar siang tadi, aku menyimpulkan. Malam semakin melarut. Sesekali terdengar desiran angin deras masuk dari luar tingkap menolak langsir bilik yang bebas tidak terikat. Waktu itu baru melewati angka 11. Namun, mataku masih terjegil menentang rasa mengantuk yang mula menakluki diri. Aku berasa seperti mahu mengulangbaca nota kuliah Dr. Idrus Yatim yang kuhadiri dua hari sebelumnya, sebentar aku memikirkan hal itu.
        Sedang fikiranku menelusi satu keputusan, sekilas ingatanku kembali pada buku biru yang diberi ayah tempoh hari. Sebetulnya, aku berkira-kira untuk mula membacanya sebelum Salwa balik tadi. Mungkin detik ini lebih sesuai. Aku mengambil buku biru dari dalam laci meja. Di bawah sinaran lampu meja, aku mula membaca halaman pertama yang berbunyi:

                “Buat satu-satunya permata hati ibu, Karmila binti Darwis yang amat dikasihi. Maafkan ibu kerana tidak dapat menjaga kamu. Derita sakit ini sudah tidak tertanggung lagi. Takdir Ilahi mendahului kita. Tiada apa yang dapat ibu hadiahkan kecuali buku ini dan segala isinya. Ketahuilah bahawa ibu sangat sayangkan kamu dan ayah selamanya. Jaga diri dan ayah baik-baik.”
        Ikhlas,
        Ibu
       
Saat itu aku merasakan kerinduan yang teramat terhadap arwah ibu. Dadaku mulai sebak dan aku mula membaca bahagian awal catatan sambil melayani perasaan. Arwah ibu menggambarkan bahawa segala catatannya sebagai satu cara untuknya meraih kepuasan peribadi yang tidak ternilai. Catatan ini bagaikan teman baiknya selain ayah ketika itu.  Aku meneruskan bacaan sehingga ke suatu catatan yang cukup menarik perhatianku.

4 Zulhijjah 1362M (2hb Disember 1943)
Petang Senin. Aku dan Abang Darwis sedang menebas semak di belakang rumah. Tiba-tiba kami terdengar 2 das tembakan tidak jauh dari rumah kami. Dari satu arah, kami melihat seorang perempuan Melayu sedang berjalan lemah ke arah sebuah pokok Ketapang. Tangannya memegang perut yang berdarah. Kami berdua amat takut dan masuk ke dalam rumah. Kami mengunci semua pintu dan tingkap. Sayup-sayup, kami mendengar bunyi bising dan teriakan orang. Kemudian senyap. Kami langsung tidak keluar rumah sehingga esok.

5 Zulhijjah 1362M (3hb Disember 1943)
Pagi Selasa. Abang Darwis pergi melihat sekitar pokok Ketapang semalam. Dibawanya parang panjang sebagai pelindung. Aku disuruhnya tunggu di dalam rumah. Dia tidak menjumpai apa-apa di situ dan di sekitarnya. Cuma bekas tompokan darah. Setibanya Abang Darwis di luar pintu rumah, dia membasuh kakinya dengan air dari tempayan. Dari dalam rumah aku melihat ada sesuatu pada tapak kakinya. Sehelai kertas. Abang Darwis ingin mengambilnya tapi aku melarangnya. Aku suruh dia berdiam diri sambil kaki kanannya diangkat tinggi sedikit. Aku mengambilnya dan melihat. Duit jepun 10 dolar. Ada kesan berwarna merah padanya. Hanyir baunya. Aku fikir ia tentu darah manusia. Darah perempuan semalam yang mati dibunuh? Aku tidak pasti kerana tiada mayat. Abang Darwis mengambil duit itu dan membasuhnya sehingga kesan darah hampir hilang. Malam itu, kami makan ubi kayu rebus dan kopi panas saja.

6 Zulhijjah 1362M (4hb Disember 1943)
Aku bermimpi pelik malam tadi. Perempuan Melayu itu menjerit-jerit. Badannya penuh darah. Biji matanya hitam membulat. Rambutnya panjang mengurai. Aku keseorangan. Dia pinta aku pulangkan barangnya. Aku kata tidak tahu. Perempuan itu semakin marah dan mencekik leherku. Aku ceritakan mimpiku pada Abang Darwis, dia tidak mempercayainya. Aku minta dia buangkan duit itu, Abang Darwis menolak. Sudahnya, kami bergaduh besar.


Secara tiba-tiba juga, sekumpulan angin deras bertiup kencang. Langsir bilik menggerbang liar sehingga menolak jatuh sebuah bingkai gambarku ke lantai. “Prakkkk.”

Tidak semena aku terkejut, buku biru terlepas daripada peganganku. Aku benar-benar terkejut. Aku beristighfar dan menelan liurku. Kulihat Salwa, sedikitpun tidak terkesan dengan bunyi bising tadi. Buku biru yang terlungkup tadi kuambil dan mulutku terlopong apabila melihat sehelai duit kertas berada di bawah buku yang terlungkup tadi. Persis duit zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Duit pokok pisang! Tidak terlintas di fikiranku bahawa apa yang kubaca tadi sedang kulalui saat ini. Aku gagahkan diri untuk mengutip duit itu di lantai.

“Wuuuuu…,” bunyi angin menderu lagi. Kali ini lebih kuat dan secara spontan aku terus menerpa ke tingkap untuk menutupnya. Satu persatu aku menguncinya supaya angin deras tidak masuk. Tiba-tiba tanganku dipegang sesuatu.
        “Aaaaaa…,” aku menjerit sambil menarik tanganku yang dipegang sesuatu.
        Dalam kesamaran cahaya, aku melihat satu lembaga berambut panjang memandang tepat ke arahku.
        “Tak tidur lagi?” lembaga itu menyoalku.
        “Hah?” aku kepalang terkejut sambil melompat ke atas katilku. Aku memeluk kaki yang mula menggigil.
        “Kenapa dengan kau ni?” soal Salwa lagi sambil menghidupkan lampu bilik.
        “Boleh tak jangan sergah aku macam tu lagi?” marahku. Terasa cuping telingaku kepanasan. Nafasku turun naik menahan marah bercampur takut.
        “Sorry. Aku tersedar sebab bunyi angin kuat dan tingkap yang kau tutup tu,” Salwa mempertahankan. “Dah lewat malam ni. Esok ada kuliah pagi. Tak terbangun nanti,” Salwa mengingatkan sambil menyambung tidurnya. Aku hanya menurut katanya. Suis lampu utama kupadamkan. Aku langsung memejam mata dan terlena sehingga pagi esoknya.

Selesai menunaikan solat Subuh yang hampir habis waktunya, aku kembali berbaring di katil. Aku cuba mengingati peristiwa lewat malam tadi yang tidak pernah kualami. Salwa awal-awal lagi sudah keluar berjoging dengan seorang kakak ‘senior’ bilik depan. Fikiranku ligat mengerah tenaga. Berfikir tentang kaitan duit Jepun dan perempuan Melayu dalam catatan arwah ibu. Nasib baik aku tidak bermimpi perkara menakutkan malam tadi. Kalau tidak, sudah tentu aku akan tidur sekatil dengan Salwa.

Aku bangkit dan menyandar pada dinding. Pandanganku menghala ke arah buku biru di atas meja. Aku tergerak hati untuk menyambung catatan buku biru selanjutnya namun kurasakan keberanian itu sendiri tergugat. Kemudian aku teringat pasal duit Jepun yang terjatuh di lantai malam semalam. Melilau mataku mencari di segenap penjuru bilik. Tidak kelihatan. Aku mencari lagi di bawah katilku, katil Salwa dan meja belajar kami. Negatif.

Aku berputus asa dan memutuskan untuk ke tandas di hujung blok. Aku membuka almari baju. Aku mencapai baldi kecil, dalamnya terdapat segala keperluanku untuk membersihkan diri. Selepas menutup almari, aku melangkah perlahan ke arah pintu bilik. Belum sempat aku memulas tombol pintu, mataku terpaku pada satu objek yang sudah puas kucari tadi. Duit itu berada pada papan nota di belakang pintu bilik. Dengan pin jarum di atasnya.
        ‘Duit Jepun!” aku separuh menjerit. “Macam mana boleh ada di sini?" soalku, berbisik dalam hati. Bulu romaku mula berdiri tegak. Perlahan-lahan aku menguatkan diri mengambil duit kertas itu. Dan mataku hampir terpejam kerana berasa amat takut.
        “Krekkkkk…,” bunyi pintu bilik dikuak perlahan-lahan. Satu susuk tubuh terpacul di muka pintu.
        “Karmila?”
Aku segera membuka mata memandang ke arah suara yang datang.
“Ha, kau. Kata, nak pergi joging?” soalku spontan, hilang terus rasa takut.
“Kau tak nampak hujan kat luar?” tunjuk Salwa ke arah tingkap bilik kami. Aku sedikitpun tidak sedar hari mulai hujan.
Salwa melangkah masuk sambil menutup pintu bilik. Dia menanggalkan kasut sukan dan menyorongkannya ke bawah katil.
“Kau okay?” tanya Salwa sambil duduk di kerusi.
“Okay,” jawabku pendek.
“Semalam kau meracau,” beritahu Salwa. Aku terpegun sejenak cuba mengingatkan hal semalam. 
“Hish, kau ni. Mana ada,” ujarku bersungguh.
“Betul, Mila. Kau meracau semalam. Cakap kau sepatah haram aku tak faham. Tapi tangan kau menggenggam kertas. Banyak kali aku cuba tengok tapi kau genggam kuat sangat. Last-last aku tidur balik,” jelas Salwa panjang lebar.
“Betul ni Sal? Kau tak main-main kan?” soalku ingin kepastian.
“Buat apa aku nak tipu kau. Aku sendiri naik takut tengok kau semalam. Mengantuk punya pasal. Letak kepala, terus lena.”
“Kau nak tahu kertas yang aku pegang tak lepas-lepas malam tadi?" tanyaku perlahan. Salwapun mengangguk perlahan sambil matanya tidak berkelip.
Dengan jari telunjuk kanan, aku menuding ke arah papan nota. Salwa membaling pandangannya ke arah yang sama.
“Apa tu?” soal Salwa tidak pasti dengan penglihatannya.
“Duit Jepun.”
“Duit Jepun?”
“Duit pokok pisang. Duit masa perang Jepun dulu,” aku menerangkan sedikit sebanyak.
“Kenapa dengan duit tu? Kau punya?” soal Salwa ingin tahu.
“Bukan. Aku sendiri tak tahu bagaimana nak terangkan.”
“Habis tu, sampai kau meracau malam-malam buta. Tak kan lah,” Salwa mula mencari sebab-sebab kemungkinan kejadian itu.
“Aku sendiri tak pasti, Sal. Baru semalam aku terjumpa duit tu. Tapi belum sekalipun aku pegang duit tu,” ujarku sambil mengawal pernafasanku yang naik turun.
“Habis tu. Siapa yang tampal duit tu kat situ?" mulut Salwa bermuncung ke arah duit Jepun yang terlekat.
“Jangan ditanya,” aku menggeleng.
“Habis tu, nak buat apa sekarang?”
“Kita ambil duit tu,” aku mencadangkan.
“Kita?” Salwa mempersoalkan.
“Kenapa? Kau takut?” tuduhku.
“Sikitlah,” kedengaran suara Salwa bergetar. “Kaulah yang ambil. Nanti aku pitam kat sini, kau nak?” ugut Salwa serius.
“Okay. Okay,” jawabku mengalah. Sambil menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan, aku bangun berdiri dan langkah diatur kemas ke arah duit kertas itu. Pandanganku tepat. Penghayatan tahap tertinggi, rasaku. Aku semakin menghampirinya. Hanya selangkah untuk aku mencapai duit yang sedang terlekat itu. Aku sempat mengamati imej pada duit tersebut. Aku seperti berkhayal. Aku melihat dengan jelas tulisan 10 dolar di segenap penjuru dan setandan buah pisang yang kelihatan cukup enak dimakan. Kemudian, aku melihat imej pokok pisang itu bergerak-gerak dan berbunyi pula. Aku keliru dengan apa sedang kulihat. Sejurus, sebuah lembaga hitam bermata merah keluar dari celahan pokok pisang dan menjerit nyaring kepadaku.
“Pulangkan…Pulangkan…,” jeritan lembaga hitam itu nyaring dan meninggi sambil mengeluarkan dirinya dari dalam duit kertas. Susuk tubuh hitam itu semakin membesar. Rakus. Kakiku seperti dirantai. Kaku tidak bergerak. Paling lemah kurasakan.
“Mila!” teriak Salwa sambil menarik tanganku, kasar dan kuat.
Kami sama-sama terjatuh ke lantai. Kerongkongku terasa haus. Perit untuk berkata-kata. Kami saling berpandangan. Tangisan kami tidak dapat dibendung lagi.
Saat ini, makhluk tidak bertangan dan berkaki itu sedang menguasai kami. Tingginya hingga ke siling bilik. Besarnya menyentuh kedua-dua dinding dan lantai bilik. Suasana sekeliling semakin gelap, menelan terus cahaya pagi yang sedang hujan lebat.
Apa yang kusedar detik itu, aku dan Salwa sudah berpelukan. Rapat dan erat. Seluruh mukaku basah. Penuh dengan air mata ketakutan melampau. Muka Salwa juga basah, panas kurasakan dengan pipiku. Kami berdua terkepung di antara tingkap bilik dengan makhluk hitam yang semakin menggila. Amukannya sungguh azab kurasakan. Baju dan seluarku habis basah dibuatnya. Kali ini, aku berasa putus asa yang paling hujung. Jeritan kami bagai tersekat di tenggorok, habis tenaga dikerah untuk bangun tetapi semuanya ternyata sia-sia.
Makhluk hitam sudah terlalu hampir. Kami hanya mampu berserah nasib padaNya. Mulut Salwa mula terkocoh-kocoh membaca ayat al-Quran, aku mengandaikan. Sedangkan aku langsung tidak terbaca walaupun sepotong ayat lazim. Makhluk hitam itu menjerit nyaring seperti tiadanya hari esok, lalu membaham kami berdua.
“Tidakkk….,” aku menjerit sepuas-puasnya. Apa yang kurasakan, aku seperti sedang berdiri. Perlahan-lahan aku membuka mataku, memerhatikan sekitarku.
Aku terpana menyaksikan diriku sedang bersama puluhan pelajar tahun dua kursus pengurusan perniagaan dalam dewan kuliah auditorium. Semua mata bertumpu ke arahku. Suasana diam seketika. Keadaan dewan kuliah yang terang bercahaya memberikan aku satu tenaga baru yang hilang. Aku masih pegun berdiri. Berdiri bersama rasa paling malu yang aku cipta sendiri. “Bermimipikah aku?” soalku sendiri. Selepas beberapa detik yang membingungkan, aku terdengar suara pelajar-pelajar bercakap sesama sendiri. Ada yang tertawa kecil. Tersengih. Menyeringai dan bermacam gaya lagi. Salwa di sebelahku menahan gelaknya dengan buku.
“Karmila. Jumpa saya lepas ni,” kata pensyarahku sambil meletakkan sehelai duit kertas lama di atas mejaku. Dia melangkap pergi tanpa menoleh lagi. Aku tergamam buat ke sekian kalinya.              

-Tamat-